Pengaruh Teknologi Maklumat
Pengangkutan
Pengangkutan Jalan
Bayangkan anda sedang duduk di dalam kenderaan yang berhalaju 120 batu
sejam di atas lebuhraya yang padat. Anda menghadapi masalah jerebu namun pengendali
kenderaan di lorong sebelah telah tertidur sedangkan anda sedang menonton televisyen.
Pelik? Terkejut? Sebenarnya anda agak selamat, anda sedang memandu kenderaan bistari dalam
Lebuh-Raya Bersistem Automasi(LBA) masa depan yang berupaya mengurangkan 1.2 juta
pelanggaran setiap tahun, menyelamatkan beribu-ribu nyawa, serta menjimatkan berjuta-juta
ringgit akibat kemalangan.
Namun isu timbul merujuk kepada penerimaan masyarakat terhadap sistem
sebegini. Sediakah mereka melepaskan pemanduan kenderaan secara bebas dan serahkan tugas
tersebut kepada komputer. Seperti yang diketahui umum, komputer kadangkala gagal,
kegagalannya dalam sistem ini akan mencetuskan kemalangan yang boleh dimasukkan dalam
rekod antarabangsa.
Walaubagaimanapun, bukan senang untuk mewujudkan lebuh-raya bersistem
automasi tersebut, Amerika Syarikat telah memulakan penyelidikan dan pembangunan sejak
1991 dan ia masih dalam proses. Untuk menyokong lebuh-raya tersebut, pelbagai teknologi
diperlukan untuk memandu kenderaan dan mengawal sistem lalulintas; Sistem Pengangkutan
Pintar, sesetengah teknologi ini telah dipasarkan dewasa ini.
Selain itu, Kenderaan Pintar diperlukan untuk membantu
pengendali dalam pengendalian kenderaan, persekitaran dan memberi amaran terhadap masalah
kesesakan. Salah satu elemen kenderaan pintar adalah Anti Lock Braking System(ABS)
yang menghalang tayar kenderaan mengunci dirinya dalam keadaan perhentian panik.
Di samping itu, salah satu elemen penting untuk mewujudkan LBA adalah Sistem
Kedudukan Global. Dengan wujudnya sistem ini, peta tidak lagi diperlukan, sistem ini
akan menentukan jalan yang paling pendek serta cepat dan memandu kenderaan anda ke
destinasi yang telah ditentukan anda. Dewasa ini, Sistem Pemanduan Kenderaan telah
mula dipasarkan di Amerika Syarikat.
Untuk melengkapkan lagi LBA, Sistem Pengurusan Kesesakan
diperlukan untuk mengenalpasti kesesakan. Antara tahun 1985 dan 1994, bandar Lexington,
Kentucky telah menggunakan sistem lalulintas berkomputer untuk mengurangkan lalulintas
henti-jalan sebanyak 40% serta mengurangkan pelanggaran sebanyak 30%(Meyer, 1999).
Namun LBA dikritik akan memburukkan lagi masalah kesesakan dalam jangka
panjang. LBA direkabentuk untuk mengurangkan kesesakan dengan cara mengerakkan kenderaan
secara lebih padat. Dengan itu, ia seakan-akan menambahkan lorong dalam lebuh-raya. Namun
penambahan ini hanya boleh menyelesaikan masalah kesesakan dalam jangka pendek. Secara
logiknya, apabila lorong menjadi banyak, ia akan menggalakkan lebih banyak penggunaan
kenderaan. Sekiranya LBA membawa kepada pengembagan keupayaan menampung kenderaan yang
tinggi maka kita akan kembali kepada masalah asal kesesakan.
Pengangkutan Udara
Sekiranya lalulintas udara terus meningkat pada kadar dewasa ini, pada
tahun 2010, ia akan sampai kebarangkalian satu kemalangan utama setiap minggu. Dalam kes
ini, teknologi maklumat terutamanya komputer memainkan peranan yang penting untuk
memastikan keselamatan yang lebih, berkait dengan rekabentuk, juruterbang, sistem
pemanduan dan lalulintas udara(Meyer, 1999)
Pengangkutan Laut
Dengan wujudnya Emergency Position Indicating Radio Beacons(EPIRB),
pelayar-pelayar dengan mudah boleh menghantar isyarat kecemasan sekiranya timbul sebarang
masalah. Kedudukan pelayar tersebut akan ditentukan melalui Sistem Kedudukan Global dan
bantuan akan dihantar secepat mungkin. Namun masalah komputer seperti Y2K boleh memberi
pengaruh negatif terhadap sistem tersebut. Kecacatan ataupun dilemma komputer tersebut
boleh mencacatkan sistem kedudukan global dan menyebabkan kapal-kapal menghadapi masalah
penentuan lokasi(Star, 21-8-1999).
Pendidikan
Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran
Komputer boleh direkabentuk supaya ia dapat membantu pelajar secara
individu dan secara berkumpulan. Ini dapat dijalankan dengan menggunakan Arahan Program,
pelajar akan diajar mengikut kadar dan tahap yang boleh diterima oleh mereka. Ini adalah
penting supaya pelajar tidak tercicir dan putus asa. Merujuk kepada sistem pendidikan
konvensional, kesemua pelajar terpaksa mengikuti sistem yang berlangsung tanpa mengambil
kira samada mereka dapat mengikuti pelajaran tersebut. Justeru itu, arahan program dapat
memberi peluang terutamanya kepada golongan pelajar "lemah" untuk membaiki
kelemahan dia.
Dalam arahan program ini, pelajar akan mengikuti langkah-langkah
tertentu dalam pembelajaran dia, langkah tersebut akan diteruskan asalkan pelajar dapat
memberi jawapan yang sesuai dan boleh diterima. Namun sekiranya jawapan tersebut tidak
memuaskan, dia akan dipandu kepada langkah terdahulu dan ditunjukkan bahan rujukan yang
berkaitan bagi memperbaiki kelemahan tersebut. Pengajaran sedemikian biasanya tidak
dijalankan di dalam kelas yang terdiri daripada ramai pelajar, tambahan pula pelajar Asia
yang kurang bertanya akan memburukkan lagi proses pembelajaran pelajar.
Selain itu, pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya
rangkaian pendidikan yang lengkap. Tren semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran
dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan
sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari
kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat. Contohnya cara
persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun kita tidak
harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu
berinteraksi tanpa komputer.
Justeru itu, sistem pendidikan perlu membekalkan kemahiran interaksi
asas pada awal persekolahan dan menggunakan teknologi maklumat pada masa yang sama. Dengan
itu, pelajar mempunyai kemahiran lebihan dan pilihan untuk menggunakan teknologi maklumat
atau cara konvensional sesuai dengan keadaan tertentu.
Reformasi Sistem Persekolahan
Cara pengajaran konvensional di Amerika Syarikat misalnya memberi
kuliah didapati tidak mendatangkan keputusan yang baik. Ini adalah kerana pelajar hanya
duduk dan mendengar kuliah tersebut tanpa penyertaan yang menggalakkan. Ini
merupakan senario yang kerap di dalam USM sendiri terutamanya dalam kuliah sarjana muda.
Walaupun terdapatnya usaha pensyarah untuk menggalakkan penyertaan pelajar namun
penyertaan yang diharapkan adalah amat kurang.
Namun dengan wujudnya rangkaian maklumat yang membolehkan pelajar memberi
pandangan dan maklum balas secara rawak dan dengan cepat maka penyertaan tersebut akan
mempunyai kadar yang lebih tinggi. Alasan seperti tidak dapat berjumpa dengan pensyarah
akan dihapuskan sama sekali memandangkan faktor masa dalam rangkaian maklumat tidak sama
dengan masa sebenar. Menurut teori pergerakan ruang, ruang aliran akan menentukan
masyarakat rangkaian maklumat. Segala maklumat yang disalurkan merupakan penyebab yang
secara kumulatif menjanakan ruang tersebut. Aktiviti menghantar dan menerima maklumat
tersebut merupakan tindakan sosial yang dibawa dalam ruang aliran. Asalkan seseorang peka
terhadap rangkaian tersebut, segala maklumat dan maklum balas akan dapat disampaikan
mahupun diterima.
Perubatan
Membantu Golongan Yang Memerlukan Bantuan Khas
10 daripada 100 orang adalah cacat. Di Amerika Syarikat, 20 juta orang
cacat mengalami halangan dalam kehidupan harian mereka(Meyer, 1999). Bagi golongan ini,
teknologi maklumat terutamanya komputer memainkan peranan yang penting dalam memberi kebebasan
kepada mereka. Contohnya kewujudan program yang berupaya membaca teks dapat membantu orang
buta berkomunikasi tanpa bantuan keluarga, rakan-rakan dan pekerja lain atau mesin rekod
suara.
Selain itu, komputer juga memberi peluang sosial baru kepada
orang cacat melalui penggunaan internet, irc serta icq dan lain-lain program. Mereka tidak
perlu pergi ke kawasan bandar untuk bertemu atau berkenalan. Mereka juga tidak perlu
melalui pengalaman pahit di dalam bandar yang tidak direka untuk mereka. Di samping itu,
terdapat rangkaian yang dikhaskan untuk mereka berkenalan dan bergaul dengan golongan yang
sama di mana sebelum ini tiada seluran yang begini mudah. Mesyuarat boleh dijalankan
bila-bila masa asalkan seseorang mempunyai talian telefon, komputer serta modem.
Tele-Perubatan
Dalam keadaan tertentu, pesakit sebenarnya tidak perlu berjumpa
dengan doktor. Ini adalah kerana dalam kebanyakan kes, doktor cuma memeriksa pesakit
melalui sintom yang diberitahu oleh pesakit sendiri. Justeru itu, suatu program yang
menyeluruh dan sentiasa diperbaiki adalah memadai untuk menggantikan tugas sedemikian.
Britain telah menggunakan sistem sedemikian untuk mengurangkan beban doktor(Laver, 1989).
Doktor seharusnya menumpukan perhatian dalam kes yang serius yang mana pesakit tidak dapat
memeriksa sebarang sintom.
Namun kesahihan sistem sedemikian akan sentiasa dipertikaikan akibat
faktor-faktor keselamatan, kepercayaan, psikologi dan sebagainya. Selain itu, kos
pelaksanaan sistem sedemikian juga amat tinggi kerana ia perlu sentiasa dinaik taraf dan
dinilai bagi memberikan tahap ketepatan dan kepercayaan yang tinggi. Di samping itu,
pelaksanaan sistem sedemikian akan menggugat kesenangan golongan buta huruf untuk
mendapatkan rawatan biasa memandangkan sistem tersebut cenderung mengurangkan atau
menggantikan peranan klinik. Justeru itu, timbul pendapat bahawa ia hanya sesuai untuk
tujuan farmasi sahaja di mana pesakit telah diberikan diskripsi ubat; dan menggunakan
tele-perubatan cuma untuk mendapatkan ubat tersebut.
Walau bagaimanapun, penggunaan Smart Card akan melengkapkan lagi
sistem tersebut memandangkan kesemua maklumat peribadi pesakit termasuk sejarah perubatan
telah dikodkan. Namun kita tidak harus melihat bidang perubatan ditukarkan kepada sejenis
industri. Perubatan sebagai perindustrian akan mencetuskan kesan mental yang buruk
terhadap pesakit. Pesakit sebenarnya telah dibebankan dengan persekitaran hospital yang
dipenuhi dengan pesakit-pesakit lain. Justeru itu, penggunaan teknologi yang keterlaluan
akan menyebabkan hubungan doktor-pesakit hilang, ini akan menjanakan keadaan yang tidak
menggalakkan dalam kes kesihatan yang serius.
Seni dan Hiburan
Digital
Dewasa ini, semakin banyak bahan-bahan ditukarkan kepada bit-bit
dalam komputer. Penukaran ini akan mencetuskan perubahan yang besar dalam penggunaan ruang
di bandar. Misalnya penduduk bandar tidak perlu berada di sesuatu lokasi tetapi dapat
merasai situasi tersebut melalui internet. Kes yang sama berlaku terhadap perpustakaan,
apabila lebih banyak teks ditukarkan dalam bentuk bit. Pelajar atau penduduk tidak perlu
sampai ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan tersebut.
Penduduk bandar juga tidak semestinya pergi ke panggung wayang atau
muzium untuk melihat filem atau khazanah negara. Kesemua ini memberi impak terhadap
perancangan guna tanah kawasan bandar. Kesan langsung daripadanya adalah pengurangan dalam
isipadu lalulintas yang disebabkan oleh aktiviti tersebut. Ini akan mengagihkan tanah bagi
tujuan yang lain misalnya kawasan hijau atau taman-taman yang tidak dapat digantikan oleh
teknologi maklumat.
Namun harus diingati bahawa dengan menukarkan bahan-bahan kepada
bit-bit. Masalah cetak rompak akan lagi berleluasa. Bahan-bahan yang didigitkan
kemungkinan besar akan menjadi tidak berharga. Ini adalah kerana ia boleh disalin dan
dikeluarkan semula berkali-kali, berbeza dengan bahan-bahan sebenar yang akan berkurangan
kuantitinya apabila digunakan.
Dunia Maya
Ia adalah satu sistem yang mensimulasikan alam nyata(reality).
Alam nyata ditayangkan dalam bentuk imej, dalam dunia yang kelihatan seperti dunia nyata.
Pengalaman dalam dunia maya bukan hanya menerusi skrin imej tetapi ia sendiri menjadi
pengalaman kepada mereka yang berada di dalamnya(Castells, 1999). Kewujudan dunia maya
akan membawa perubahan tertentu dalam cara hidup di bandar. Memandangkan ia begitu benar
dan kadangkala dapat memuatkan ciri-ciri idealisme yang tidak terdapat dalam dunit nyata.
ia merupakan satu ruang yang membolehkan penduduk membuat pilihan samada hendak memilih
dunia maya atau dunia nyata untuk menjalankan aktiviti tertentu.
Contohnya seseorang yang ingin keluar bersiar-siar di bandar boleh
memilih bandar nyata atau bandar maya. Bagi mereka yang ingin melihat bandar sebagai
utopia maka dunia maya mampu memberi satu bandar sedemikian. Namun penggunaan dunia maya
bukan hanya terhad kepada hiburan sahaja. Ia menjadi medan ujian bagi percubaan pengalaman
yang seakan-akan benar. Misalnya ujian memandu kenderaan boleh dijalankan di dalam sebuah
bilik tanpa menggunakan jalanraya sebenar. Dari segi perancangan pula, model-model boleh
dihasilkan untuk menguji kesan perancangan terhadap sesebuah bandar. Seseorang boleh
mencuba pengalaman di dalam bandar tersebut sebelum pelan susun atur diluluskan. Ini akan
menambahkan lagi penilaian pelan tersebut.
Rekreasi
Dengan wujudnya teknologi maklumat yang membolehkan pemindahan maklumat
dengan cepat dan tepat, kebanyakan pekerjaan boleh dijalankan di rumah. Ini bermakna waktu
kerja yang lebih bebas serta pendek. Ini adalah kerana seseorang tidak perlu meluangkan
masa untuk pergi ke pejabat, tersesak atas jalanraya, makan di luar dan sebagainya.
Kesannya masa rekreasi penduduk akan bertambah dan ini akan mempengaruhi penawaran
jenis perkhidmatan pada masa depan.
Perdagangan dan Perindustrian
Perdagangan Elektronik
Perdagangan elektronik ditakrifkan sebagai penggunaan telekomunikasi
atau rangkaian yang luas untuk melaksanakan pemindahan kewangan. Menjelang tahun 2001,
gedung membeli-belah berangkai(online shopping) dijangka akan menarik antara $3.5 hingga
$6 juta di Amerika Syarikat(Meyer, 1999). Di Malaysia, gedung-gedung seperti Parkson,
Sapura, 3Comm dan Biz.st telah menawarkan khidmat beli-belah berangkai. Rasionalnya adalah
kadar penggunaan internet yang tinggi akan menggalakkan penawaran sedemikian. Pada tahun
1994, terdapat lebih kurang 500,000 pengguna yang berdaftar dengan Jaring dan TmNet(Star,
31-7-1999).
Dengan berkembangnya perkhidmatan sedemikian pada masa depan, pengguna
tidak perlu melangkah keluar dari rumah untuk membeli-belah. Di samping itu, mereka boleh membeli-belah
24 jam sehari tanpa gangguan kesesakan, cuaca dan jurujual yang membosankan. Selain
itu, lokasi juga tidak menjadi masalah kerana perkhidmatan yang dibekalkan akan menjamin
pembelian tersebut dijalankan dengan senang. Halangan yang wujud cumalah kos penghantaran
yang mahal bagi lokasi yang jauh.
Selain daripada aktiviti membeli-belah, rangkaian teknologi maklumat
juga membolehkan aktiviti perbankan dan pasaran dijalankan. Ini akan memberi pengaruh yang
besar ke atas guna tanah kawasan perdagangan pusat. Dewasa ini, aktiviti tersebut sentiasa
berkait dengan kesesakan di lokasi perletakan bank atau bursa saham. Namun dengan adanya
rangkaian maklumat yang membolehkan aktiviti tersebut dijalankan dengan selamat maka
penduduk bandar dengan sukarela akan memilih rangkaian tersebut berbanding dengan cara
konvensional yang tidak berkesan serta membazirkan masa dan tenaga.
Di samping itu, surat elektronik yang semakin tinggi kadar
penggunaannya akan memberi pengaruh terhadap perkhidmatan pos serta sistem pengangkutan
yang bersabit dengannya. Ia juga mengurangkan penggunaan kertas dan sampul surat. Ini
merupakan satu langkah baik ke arah kemampanan hutan di dunia
No comments:
Post a Comment